Nama
Usahawan : Ali Hassan Mohd Hassan
Tempat
Kelahiran : Jerantut, Pahang
Graduan
: Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi
Malaysia,Skudai
Bidang
Usahawan : Perniagaan Runcit aL-ikhsaN
Pada
permulaannya Ali Hassan Mohd Hassan hanya menjual barangannya secara
kecil-kecilan kepada rakan-rakan dan pensyarah beliau ketika beliau masih
menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Beliau juga bekerja
sambilan sebagai penghantar piza untuk menampung perbelanjaan pengajian dan
sara hidup. Meskipun beliau juga menerima biasiswa, beliau memberitahu yang
kesemuanya diberikan kepada ibu beliau “kerana kami bukan orang senang.”
Dalam berusaha
tanpa mengenal jemu dalam pelajaran dan menyara kehidupan ketika itu, beliau
akhirnya berjaya mendapat Diploma Kejuruteraan Mekanikal UTM pada tahun 1993.
Beliau yang merupakan pelajar cemerlang pernah ditawarkan peluang untuk
melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi ditolak kerana lebih cenderung
untuk mengusahakan perniagaan.
Perniagaan pertama
Ali Hassan bermula pada tahun 1993 di ruang sempit di Holiday Plaza, Johor Bahru
dengan modal perniagaan yang diusahakan dengan titik peluhnya sendiri. Beliau
mula mengusahakan perniagaan serius pada tahun 1994 apabila mendapati wujud
trend permintaan terhadap barangan sukan yang amat menggalakkan.
“Ketika itu, memang
sukar untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan kerana saiz
perniagaan ini kecil. Itu bukan alasan untuk tidak berjaya. Saya kena rajin dan
kuat berusaha dengan menjual baju sukan secara pantas.
“Dapat sahaja
barang hari ini, jual secepat mungkin. Cari peluang yang ada di mana sahaja
asalkan boleh dijual,” katanya yang pernah naik turun pejabat kerajaan dan
syarikat swasta bagi memperoleh tempahan dan memasarkan barangannya.
Beliau menyatakan
dalam menjayakan sesuatu perniagaan, beberapa elemen penting perlu ada,
antaranya kesabaran, kesungguhan, tiada perasaan malu serta tekun berusaha. “Walaupun kita
gagal sekali atau sukar mendapatkan pinjaman bank, kita kena istiqamah dan
terus buat sahaja. Jangan fikir apa-apa, usahakan apa yang ada.
“Ini penting untuk
kita bina reputasi walaupun mengambil masa satu atau dua tahun. Bila orang
melihat reputasi kita yang semakin baik, barulah mereka akan percaya.
“Apa sahaja kita
kena sabar…. perbaiki apa kelemahan yang ada. Jangan malu bertanya kepada
pelanggan apa yang mereka tidak puas hati. Biar mereka ‘komplen’,” katanya yang
berpendapat ia merupakan antara langkah untuk memajukan perniagaan ke tahap
yang lebih baik lagi.
“Saya masih ingat
lagi luahan pelanggan kerana barangan yang dipamerkan di kedai pertama sedikit
dan banyak kekurangan. Itu tidak ada…ini tidak ada. Jadi, saya berusaha
mendapatkan barangan yang mereka mahukan kerana ingin memuaskan hati pelanggan.
“Ambil sahaja apa
‘komplen’ pelanggan dan jangan kita tafsirkan pendapat atau kritikan yang
diberikan itu sebagai negatif. Itu tanda mereka sayang kepada kita dan mahu
melihat perniagaan kita berkembang,” katanya.
Resipi kejayaan
selama ini yang didukung dalam diri Ali Hassan sebenarnya berpaksikan
sepenuhnya kepada tuntutan dalam agama Islam.
“Formula aL-ikhsaN
dari dulu sehingga sekarang adalah jangan kita meninggalkan solat lima waktu,
jaga ibu bapa kita sebaik mungkin, tunaikan zakat dan berikan sedekah dan bantu
mereka yang susah.
Beliau menyerah
semuanya kepada kekuasaaan Allah dan mempercayai sekiranya melakukan sesuatu
perkara kerana Allah semata-mata, kesannya amat berbeza.
“Dari sini
keajaiban akan berlaku dengan izin Allah. Kita kena yakin dengan janji Allah,
iaitu siapa yang ikut perintah-Nya… kemenangan dan kejayaan akan diberikan di
dunia dan akhirat. Mula-mula nampak susah tetapi sekarang semua keajaiban itu
menunjukkan hasil. Inilah isi kejayaan yang sebenar,” jelasnya.
Selain pegangan
kukuh pada tuntutan agama, senjata aL-ikhsaN yang sentiasa berada selangkah di
hadapan pesaing adalah harga produk sukan dijual amat berpatutan bagi semua
lapisan masyarakat.
“Apa yang paling
penting ialah aL-ikhsaN memberikan produk-produk berkualiti dan berjenama
antarabangsa dengan harga yang cukup berpatutan. Ini memberikan kepuasan kepada
pembeli, sekali pakai mereka akan kembali lagi.
Kini terdapat
sebanyak lebih dari 75 buah butik aL-ikhsaN di seluruh negara wujud yang
menjadi bukti sebuah empayar perniagaan hebat miliknya. Malahan kebanyakan
produk yang ada di aL-ikhsaN tidak terdapat di kedai-kedai lain. Pilihan produk
juga luas dan dijual pada harga berpatutan. Model kasut sukan dan peralatan
lain yang dipakai oleh pemain bola antarabangsa terkenal juga terdapat di kedai
ini. Setiap barang yang dilancarkan di Eropah boleh didapati di AL-ikhsaN pada
hari yang sama.
Pada penghujung
2010, aL-ikhsaN juga telah mula merancang membuka kedai sukan untuk wanita
dikenali Al-Ikhsan Sports Girl. Menurut Ali, pembukaan premis ini untuk
memenuhi tuntutan para pelanggan wanita yang menyatakan bahawa pakaian serta
kelengkapan sukan berkualiti tinggi jenama terkemuka sukar diperoleh dalam
pasaran tempatan. Jelas sekali dengan mendengar feedback dari pasaran,
AL-ikhsaN mampu bertahan, malah berkembang dengan jayanya.
Kini, rangkaian
kedai aL-ikhsaN adalah nama besar dalam kalangan anak muda hari ini yang
menggemari produk sukan berjenama popular seperti Nike, Adidas, Puma, Reebok,
Umbro, Lotto dan Diadora pada harga yang murah.
Kejayaan Ali Hassan
mengembangkan kedai aL-ikhsaN ini diharapkan dapat memberikan inspirasi kepada
usahawan Melayu yang sering dianggap stereotaip dengan kisah kegagalan, untuk
berusaha tanpa mengenal jemu, beristiqamah, sambil mempelajari untuk mendengar
kehendak pelanggan dalam membina perniagaan.
Ali Hassan
membuktikan kebenaran pepatah Melayu, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.