Friday, May 17, 2013



INOVASI UNTUK PRODUK PENGGUNA DI MAJUKAN PELAJAR UKM

Skrin LCD yang boleh mengesan wajah, papan tanda elektronik kawalan jauh, panel tenaga suria yang sentiasa menghadapi matahari, malah tenaga percuma dari bumi;  semua teknologi yang canggih dan menakjubkan ini sedang dibangunkan mahasiswa Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Malahan ada diantara usaha mereka itu yang telah mula menarik perhatian sektor swasta hingga memungkinkan  pengkomersilan inovasi mereka itu.
Aktiviti kelas Jabatan Elektrik, Elektronik dan Sistem Tenaga fakulti itu telah dipamerkan di kampus UKM di sini awal bulan ini yang memaparkan bakat dan kreativiti siswa itu menyelesaikan masalah harian untuk faedah pengguna.

Satu lagi inovasi yang berguna tetapi lebih rumit ialah apa yang digelar sistem “Elektrik Pintar” yang menggunakan ventilasi untuk menggerakkan udara antara bumbung dan lantai dalam bangunan tanpa perlu untuk membuka pintu. Kipas ekzos digunakan untuk menyalurkan aliran udara ke tempat-tempat yang memerlukan pengudaraan yang lebih.
Ia juga boleh mengawal penghawa dingin dengan membandingkan suhu bahagian dalam dengan luar dan ruang antara bumbung dan siling. Kumpulan yang mencipta sistem ini berkata ia akan membantu mengurangkan kos hawa dingin sambil membuangkan udara basi dan tercemar. Mereka percaya ia paling sesuai untuk bangunan besar seperti kilang dan pejabat.
Tenaga percuma mungkin dianggap luar biasa dan tidak munasabah, tetapi satu lagi pasukan pelajar mendakwa mereka menghampiri impian ini. "Kapagen" adalah ciptaan mereka yang cuba menghasilkan tenaga secara ekonomi. Ia adalah sebuah generator atau penjana yang menghasilkan tenaga elektrik daripada elektron dalam bumi.
Bumi bertindak sebagai kapasitor yang sangat besar yang menyerap elektron daripada kilat. Ia memang mampu menjimatkan tenaga, tetapi ia memerlukan penggunaan bekalan letrik sekurang-kurangnya 400 volt pada penjana untuk menghasilkan 4,000 volt.
Sistem "Kapagen" ini dibangunkan mengguna alat-alat elektrik di rumah dan peralatan elektrik lain seperti step-up transformer, transformer ketuhar gelombang mikro, kapasitor elektrik, gegelung penggulungan, mentol lampu dan batang pembumian. Walau bagaimanapun, pengguna mesti mempunyai bekalan elektrik yang lebih tinggi daripada 220 volt yang biasa didapati untuk menjana lebih 10 kali ganda voltan elektrik.

 

DUA PAKEJ TANAM SENDIRI CILIBANGI DIPASARKAN


Saintis pembiakbakaan yang menghasilkan Cilibangi, Dr Ahmed Mahir Mokhtar Bakri  mengesyorkan penghuni bandar menanam sendiri cabai keperluan mereka di rumah melalui dua pakej bertani.
Beliau menawarkan Pakej Tanam Cilibangi Organik dan Pakej Mini Fertigasi di Rumah berdasarkan konsep “Tanam, Tinggal dan Tuai Cilibangi” .
Pakej pertama terdiri dari sebuah mesin mini pembuat baja kompos dan kedua pula sebuah tong berisi air dan baja yang boleh dibiarkan di pekarangan rumah.
Dua pakej ini dan pengeluaran dua jenis sos Cilibangi, jeruk, ikan bilis goreng dan beberapa jenis baja serta racun serangga membawa Cilibangi ke fasa kedua penghasilannya sejak dilancarkan semula Jun tahun lalu.
Cilibangi dipasarkan oleh Serotech Sdn Bhd, sebuah syarikat terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM Tech.
Dr Ahmed Mahir berkata: “Cilibangi amat mudah ditanam di kawasan laman, garaj dan pekarangan rumah sekali pun rumah teres di bandar dan hasilnya rangup, sentiasa segar di samping pedas.”
Ketua Pegawai Eksekutif Serotech, Dr Sharifah Nur Rahimah Syed Alias pula memberitahu syarikat itu telah menerima banyak peluang kerjasama daripada pelbagai pihak untuk projek ‘tambah nilai’ Cilibangi.
Berikutan itu, ia telah menghasilkan sos cili yang dihasilkan daripada Cilibangi merah segar dari ladang. Sos itu didapati amat sesuai di makan bersama masakan bergoreng seperti ayam goreng, cendawan goreng dan lain-lain.
Sos Pencicah pula dihasilkan menggunakan Cilibangi dengan formulasi yang berbeza, menyerupai sos manis dan enak dimakan bersama dengan masakan seperti tempura dan keropok.
Cili Jeruk dihasilkan daripada Cilibangi hijau segar dan sedap serta enak dimakan dengan kueh teow goreng atau mi goreng.
Penghasilan produk-produk sos di bawah jenama Cilibangi ini adalah hasil kerjasama dengan Syarikat Global Agro Divesified Sdn Bhd, kata Dr Sharifah Nur Rahimah.

Beliau berkata Serotech juga mengadakan kerjasama dengan syarikat Weimar Entreprise Sdn Bhd untuk menyediakan Mesin Memproses Sisa Dapur kepada Baja Kompos Organik. Ia membolehkan pengguna memproses baja kompos mereka sendiri selain mengurangkan jumlah buangan sisa dapur.
Penggunaan baja itu akan menambah nilai penanaman Cilibangi.
“Sisa makanan boleh dijadikan kompos hanya dalam tempoh empat atau lima hari sahaja berbanding kaedah konvensional iaitu selama dua atau tiga bulan,” katanya.
Pakej Mini Fertigasi di Rumah pula kata Dr Sharifah adalah berdasarkan konsep “Tanam, Tinggal dan Tuai Cilibangi”.
“Walaupun dalam kesibukan dengan kerjaya masing-masing, peminat Cilibangi masih boleh menanam dan menuai Cilibangi segar di rumah mereka. Mereka tidak memerlukan pembantu rumah untuk menyiram dan membaja, semuanya diuruskan oleh sistem mini fertigasi MyHome Cilibangi.
Terdapat dua pakej dalam program MyHome Cilibangi iaitu, Pakej MyHome Cilibangi 1 terdiri daripada set mini fertigasi cukup untuk 10 pokok Cilibangi. Manakala Pakej MyHome Cilibangi 2 pula adalah satu set mini fertigasi cukup untuk 20 pokok Cilibangi. 




 KERETA PROTOTYPE MENGGUNAKAN SEL FUEL

 

Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM akan menghasilkan kereta prototaip yang dijana oleh kuasa sel fuel untuk syarikat pembuat kereta nasional Proton.

Institut Sel Fuel, yang ditubuhkan oleh UKM untuk menjalankan kajian penggunaannya kini sedang menyediakan komponen untuk kereta itu yang menyerupai “golf buggy” atau kenderaan kecil yang boleh membawa dua orang.

Pengarahnya, Prof Ir Dr Wan Ramli Wan Daud memberitahu Portal Berita UKM bahawa kiranya Proton minat dengan rekaan itu, Institut Sel Fuel akan menghasilkan pula kereta salon berkuasakan sel fuel yang sama kuasa dengan kenderaan berenjin 1.3 liter menjelang tahun 2014.

Prof Wan Ramli berkata enjin sel fuel lebih menjimatkan kerana ia bertindak sebagai peranti elektrokimia yang mampu menukarkan tenaga kepada elektrik serta haba tanpa melibatkan pembakaran.

Pada dasarnya, sel fuel bertindak sama seperti bateri kecuali ia tidak kehabisan ataupun perlu dicas semula. Faktor utama bahan dalam sel fuel ialah gas hidrogen, yang akan bertindak dalam campuran bahan kimia dan pemangkin.


Ia juga lebih mesra alam kerana hasil buangan sel fuel ialah air biasa, bukan gas beracun seperti karbon monoksida dan sulfur dwioksida.

Prof Wan Ramli dan penyelidik di Institut Sel Fuel sedang menghalusi dan mengemaskini enjin yang akan diguna untuk kereta prototaip Proton.

Semua bahan dan kimia sudah ada, tetapi institut itu sedang menunggu peralatan kenderaan dari beberapa pembekal tempatan.

Selepas kereta itu di pasang, ia akan dikemukakan kepada pengurusan Proton dalam masa dua bulan.

Prof Wan Ramli menyifatkan enjin sel fuel sebagai suatu langkah yang sewajarnya dan lebih sesuai daripada enjin berkuasa elektrik.

Proton dijangka mengeluarkan kereta elektrik untuk pemasaran pada tahun 2013, selepas ujian dijalankan oleh jabatan Perdana Menteri terhadap tiga model Proton Saga Kenderaan Elektrik atau EV dan Exora REEV.

Penyokong sel fuel berpendapat teknologi itu mempunyai kelebihan berbanding elektrik dari segi kepantasan menjana semula enjin. Kerana selagi ada sumber hidrogen untuk disuntik dalam sel fuel, enjin boleh diguna dalam beberapa minit sahaja selepas gas itu dibekalkan.

Ini berbanding dengan bateri kereta elektrik yang perlu dicas selama beberapa jam. Ini bermakna seorang pengguna yang kembali ke rumah selepas bekerja hanya boleh memandu keretanya pada keesokan harinya selepas bateri telah selesai dicas berterusan kerana waktu ia dicas, kereta tidak boleh dipandu.

Beliau berkata sel fuel juga lebih praktikal berbanding tenaga suria kerana ia tidak perlu memuatkan panel atau kepingan solar yang besar dan berat kepada mana-mana kenderaan atau alat.

Institute Sel Fuel telah menghasilkan prototaip motosikal kecil yang dicadangkan kepada syarikat motosikal negara, Modenas, untuk dikeluarkan secara besar-besaran.

 

 

 MENJANA KUASA MELALUI PEMULIHAN AIR KUMBAHAN MENGGUNAKAN SEL FUEL MIKROB

 

Penyelidik Institut Sel Fuel (SELFUEL) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mostafa Ghasemi berkata beliau dan saintis lain sedang mengkaji pelbagai bahan alternatif kos rendah untuk komponen katod, pemangkin dan membran sel fuel mikrob.
Beliau telah menyampaikan syarahan umum di sini hari ini atas tajuk ‘Satu kaedah baru untuk rawatan air sisa dan pengeluaran tenaga’ yang dianjurkan oleh SELFUEL.
Satu sel fuel mikrob (MFC) atau sel fuel biologi adalah peranti yang menukarkan tenaga kimia kepada tenaga elektrik dengan tindakbalas bermangkin mikroorganisma seperti bakteria dan alga.
Satu sel fuel mikrob terdiri daripada membran khusus anod dan katod berpetak yang dipisahkan oleh kation (ion bercas positif). Dalam petak anod, bahan fuel di oksidakan oleh mikro organisma untuk menghasilkan karbon dioksida, elektron dan proton. Elektron dipindahkan ke petak katod melalui litar elektrik luaran, manakala proton dipindahkan ke petak katod melalui membran. Elektron dan proton digunakan dalam petak katod, digabungkan dengan oksigen untuk menjadi air.
Dr Ghasemi menjelaskan ciri-ciri sebuah MFC menjadikannya sesuai untuk memulihkan air kumbahan serta menjana tenaga elektrik secara serentak.
Mikrob yang wujud semula jadi di dalam air kumbahan menghasilkan elektron kerana ia mencerna bahan organik di dalam enapcemar. Air dirawat apabila mikro-organisma makan bakteria di dalam air kumbahan dengan bantuan pemangkin biologi. Pada masa yang sama, tenaga elektrik yang dijana digunakan sebagai sumber kuasa.
Hampir mana-mana bahan sel fuel organik boleh digunakan dalam sel fuel termasuk gandingan sel-sel kepada loji rawatan air kumbahan. Bakteria akan mengambil bahan buangan dari air dan menghasilkan kuasa tambahan untuk loji.
Dr Ghasemi berikhtiar supaya mencipta sistem rawatan air sisa pada kos yang lebih rendah dan penjanaan kuasa pada masa yang sama. Ini bermakna adanya air jernih di negara-negara membangun, melalui penggunaan teknologi kitar semula air kumbahan.
Beliau berkata MFC juga agak berkesan dalam merawat kumbahan untuk membuang bahan organik dan maklumat yang diperolehi menujukkan pengurangan mikrob yang menyebabkan penyakit.

PENYELIDIK UKM HASILKAN GELATIN HALAL

 

Suatu Kumpulan Penyelidik Skala-tinggi dan Proses Hiliran UKM berjaya menyediakan suatu proses canggih untuk mengeluarkan gelatin halal dan kolagen terhidrolisis daripada sumber bahan pertanian, iaitu tulang ternakan, kulit dan sisik ikan.
Proses itu dibangunkan mengisi keperluan gelatin dan kolagen terhidrolisis bagi pasaran halal dunia, kata ketua kumpulan penyelidik itu, Prof Ir Dr Abdul Wahab Mohammad, daripada Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses UKM.
Rekaan peralatan dipergiat itu boleh dibina dan dipasang bersama dengan loji pemprosesan ternakan atau ikan di negara-negara Islam.
Mereka telah membina sebuah loji percubaan kecil di UKM untuk menunjukkan proses keseluruhan itu. Kira-kira RM2 juta dibelanjakan untuk membeli peralatannya dengan pembiayaan awal didapati dari Technofund Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Penyelidikan terhadap projek itu bermula pada 2007 dengan Prof Wahab dibantu oleh Prof Ir Dr Mohd Sobri Takriff, Prof Dr Abu Bakar Mohamad dan Prof Madya Dr Siti Masrinda Tasirin, semuanya daripada Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses.
Mereka kemudiannya dibantu Profesor Pelawat Ir Ad Grobben dari Belanda yang mempunyai pengalaman luas dalam industri pemprosesan gelatin dan kolagen terhidrolisis apabila projek itu bergerak ke arah loji skala pandu.
Mereka menggunakan jenama “Halagen” untuk gelatin dan kolagen terhidrolisis yang dihasilkan. Ia boleh digunakan sebagai bahan dalam makanan, kapsul, kosmetik dan makanan tambahan.
Masa pemeprosesan dapat dikurangkan dengan menggunakan partikel halus diperingkat nyahgalian membolehkan masa untuk menghasilkan satu kelompok produk juga dikurangkan.
Proses yang digunakan termasuk mengisar dan menggiling, nyahgalian dan penyedutan, penapisan, penapisan membran, pengewapan dan pengeringan.
Ia juga menggunakan teknik penapisan membran terbaru untuk pemecahan molekul gelatin dan kolagen terhidrolisis dalam proses pemisahan dan dapat mengurangkan keperluan tenaga serta menjimatkan air melalui kitaran semula.
Rekaan proses begitu canggih membolehkan masa pemprosesan disingkatkan serta mengecilkan saiz loji. Ianya amat sesuai untuk operasi setempat berdekatan loji-loji pemprosesan ternakan haiwan dan penternakan ikan.

 

 SAINTIS UKM HASILKAN BERAS PERANG BERMUTU TINGGI UKMRC9

 

Setelah menjalankan penyelidikan selama tujuh tahun, para ahli sains UKM dengan kerjasama pegawai penyelidik Agensi Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya menghasilkan sejenis beras perang yang boleh meningkatkan pengeluaran beras negara selain sesuai untuk mereka yang mengidap penyakit kencing manis.

Pakar Genetik Tumbuhan dan Bioteknologi, dari Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof Dr Wickneswari Ratnam, yang turut dibantu 14 lagi ahli sains fakulti itu selain pegawai MARDI, juga turut melibatkan ahli sains Universiti Putra Malaysia dan agensi Nuklear Malaysia dan daripada Universiti Malaya.

Hasil penyelidikan sejak 2002 itu berjaya menghasilkan padi terbaru varian G33 diberi nama UKMRC9 yang mampu meningkatkan pengeluaran beras sejajar matlamat pengkajian berkenaan.

Ia dicapai melalui pembiakan konvensional iaitu kacukan terkawal di antara padi Cultivar MR219 dengan padi liar Oryza rufipogon. Ia melibatkan pemindahan ‘gen’ padi liar ke padi yang digunakan sekarang yang telah diusahakan oleh MARDI.

Ciri-ciri UKMRC9 adalah ia sederhana tinggi, tumbuh dalam masa 125 hari, rupa bentuknya yang diinginkan, ia mengeluarkan hasil beras yang tinggi iaitu 5.5 tan setiap hektar, ia kalis penyakit barah dan berasnya sederhana panjang.

Ciri biokimianya pula adalah kandungan amilosa 19-20 peratus, kandungan fenolik yang tinggi dan padi ini adalah satu sumber antioksidan yang tinggi.



 SAINTIS UKM MENCIPTA SISTEM PENGENALAN MELALUI FREKUENSI RADIO MENGGUNAKAN KAD RANGKAIAN WIFI

 

Seorang penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya mencipta suatu alat sistem pengenalan melalui frekuensi radio (RFID)yangmenggunakan teknologi Wi-Fiuntuk menggantikan komponen kritikal dan mahal dalam sistem sedia ada yang menggunakan alat pengimbas atau pembaca.
Profesor Dr Mohamad Mamun Bin Ibne Reaz dari Jabatan Elektrik, Elektronik dan Sistem Kejuruteraan di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina berkata sistem pengenalan RFID ialah istilah biasa untuk teknologi yang menggunakan gelombang radio untuk secara automatik mengenal pasti orang atau objek melalui tag atau penanda yang diletakkan di dalamnya.
Prof Mamun memberitahu Portal Berita UKM bahawa sistem RFID dengan pengimbas yang mahal boleh digantikan dengan kad rangkaian tanpa wayar menggunakan teknologi Wi-Fi yang harganya berpatutan.
Prof Mamun, yang mengetuai sepasukan enam orang penyelidik, berkata teknologi Wi-Fi yang popular dan mudah diperolehi menggunakan kaedah mendapat maklumat bagi internet boleh diguna pakai untuk sistem RFID ini.
Hasil kajian itu aplikasi yangmenggunakan sistem RFIDyang berkaitan dengan e-kerajaan, e-kesihatan, e-dagang dan lain-lainakan mendapat manfaat dengan pengurangan kos yang ketara dan pengesanan lokasi fizikal yang dipantau secara unik.
Dalam sistem sedia ada, kaedah biasa untuk pengenalan adalah dengan menyimpan nombor siriyang mengenal pasti orang atau objek dan mungkin maklumat lain pada mikrocip yang dilampirkan kepada antena. Cip dan antena ini dipanggil transponder RFID atau tag RFID. Antena membolehkan cip menghantar maklumat pengenalan kepada pengimbas atau pembaca. Pembaca menukar gelombang radio yang dipantulkan kembali dari tag RFID kepada maklumat digital yang kemudian boleh dipindahkan ke komputer yang boleh menggunakannya.
Walau bagaimanapun, kata Prof Mamun, sistem beliau tidak memerlukan pengimbas. Fungsi itu disepadukan dalammana-mana PC atau komputer menggunakan Wi-Fi untuk menjimatkan kos. Dengan sistem itu, pakar-pakar perubatan dan pekerja penjagaan kesihatan akan dapat secara automatik mengenalpasti di mana pesakit berada di sesebuah hospital. Selain itu, pengurusan hospital akan mendapati ia lebih cepat untuk menghubungi pengeluar peralatan diseluruh dunia.
Beliau menganggarkan kos pembuatan secara besar-besaran cip dan tag Wi-Fi itu hanya kira-kira 50 sen satu set jika di buat oleh pengeluar tempatan dan mungkin lebih murah lagi jika dibuat di Cina. Maklumat yang diterima dalam komputer tidak menggunakan peralatan khas, tetapi begantung kepada perisian komputer.
Prof Mamun berkata sistem RFID komersial yang sedia ada adalah khusus kepada syarikat yang mengeluarkannya terutama dalam komponen penting seperti pengimbas atau pembaca. Dan waktu ini kos untuk menggantikan pengimbas yang rosak amat tinggi kerana pengguna perlu membelinya dari syarikat yang sama yang mengenakan harga tinggi.
Tag RFID kini digunakan dalam banyak industri. Umpamanya satu tag RFID yang dilampirkan kepada kereta semasa dibuat dalam kilang boleh digunakanuntuk mengesan kemajuan ketika ia dipasang.
Pekerja dengan kad pengenalan mereka boleh berjalan melalui pintu keselamatan automatik lebih cepat tanpa menyapu di pengimbas. Kad sedemikian juga digunakan bagi kutipan tol dimana kereta boleh melalui pintu tol yang lebih cepat berbanding dengan kad sapu. Ubat dan dadah yang mengandungi tag dapat dikesan daripada gudang mana ia disimpan. Ternakan dan haiwan kesayangan boleh diletakkan dengan tag yang disuntik, untuk mengenal pasti siapa tuan mereka.
Cip dan tag RFID boleh dibuat menjadi sangat kecil – lebih kecil daripada sebiji beras atau sebesar habuk saja.
Satu lagi kelebihan ciptaan Prof Mamun adalah tag yang mengandungi maklumat yang disimpan secara elektronik boleh dikesan sejauh beberapa meter lagi. Tidak seperti kebanyakan sistem lain yangmenggunakan kod bar, tag tidak perlu berada dalam garis penglihatan pembaca dan boleh tertanam dalam objek yang dikesan.

 

 SAINTIS UKM HASILKAN ALAT PENGESAN DENYUTAN JANTUNG JANIN

 

Seorang pelajar program “PhD Melalui Industri” Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya merekabentuk suatu alat pengesan denyut jantung janin yang inovatif, menggabungkan teknologi optik, tisu, instrumentasi dan pemprosesan isyarat berdasarkan thesisnya.
Dr Gan Kok Beng, 35, yang sebelum ini bekerja dengan syarikat multinasional AS, Hewlett Parkard, dianugerahkan ijazah doktor falsafah oleh UKM pada 2009, berkata: ”Dalam bidang perbidanan, pengesanan kadar denyut jantung (FHR) kekal sebagai sesuatu yang standard untuk penilaian kesejahteraan janin. Hasil pengesanan awal boleh mengurangkan risiko penyakit dan kematian.”
Berdasarkan penyelidikan beliau yang tertumpu dalam bidang Elektronik Perubatan, Pemprosesan Isyarat Bioperubatan & Kejuruteraan Optik dan Bio-fotonik, Dr Gan sudah pun menghasilkan sebuah prototaip alat berkenaan.
Alat pengesan itu dikenali sebagai Sistem Pengesan Optik Denyut Jantung Janin (OFHR) dapat memantau kadar denyutan jantung janin melalui perut ibunya.
Dr Gan berkata OFHR berfungsi melalui “satu pancaran sumber cahaya melepasi tisu ibu, cecair amniotik dan akhirnya mencecah tisu janin.
“Cahaya yang terpancar itu pula akan dikesan oleh pengesan foto pada alat penyiasat sambil Kadar Denyutan Jantung Janin akan diserap dengan menggunakan teknik pemprosesan isyarat terkemajuan.”
Projeknya itu menggunakan teknik optik berkuasa rendah (<68 mW) untuk mengesan FHR transdada menggunakan kuasa hampir-inframerah fotosimografi.
Satu pancaran infra-merah membelah bahagian perut ibu dan tisu janin, mengakibatkan satu isyarat bercampur yang dapat dikesan oleh alat pengesan bunyi-rendah terletak pada jarak 4 sentimeter.
Selepas pengesanan serentak, isyarat bercampur-campur itu diproses oleh satu penapis sesuai untuk meresap isyarat dari bayi, sedangkan pengesan pada jari manis ibu adalah input rujukan. Pancaran bunyi akan mewujudkan paparan untuk tatapan doktor perubatan.
Perkakasan OFHR terdiri daripada alat pemeriksa janin dan jari sedangkan data digital akan disalurkan tanpa wayar menggunakan teknologi Bluetooh (Versi 4) ke sebuah komputer untuk diproses. FHR dan MHR akan diserap menggunakan perisian yang sudah pun dibangunkan.
Masakini FHR boleh dikesan menggunakan alat ultrabunyi Doppler, di mana ujian pra-kelahiran standard kesihatan janin adalah ujian tiada tekanan janin (NST).

 

 WIRABAR SUATU MAKANAN PADAT UNTUK TENAGA DIHASILKAN SAINTIS UKM

 

Sejenis makanan padat untuk menjana tenaga telah dapat dihasilkan seorang saintis pemakanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang akan dipasarkan sebagai kepingan coklat, gel dan minuman dengan jenama WiraBar.
Ketua Pusat Inovasi bagi Teknologi Manisan (MANIS), Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Dr Nazaruddin Ramli mengambil masa dua tahun menjalankan kajian untuk menghasilkan produk-produk itu.
Beliau ketika itu berfikir bagaimana hendak menghasilkan sejenis kepingan coklat penjana tenaga buatan Malaysia memandangkan produk seumpama yang ada di pasaran semuanya di impot dan tidak mempunyai rasa tempatan.


Dr Nazaruddin telah berjaya menghasilkan adunan terbaik lagi mujarab yang memenuhi keperluan tenaga seseorang yang aktif termasuk anggota tentera dan warga beruniform. Ia juga didapati boleh dijadikan makanan gantian sarapan bagi mereka yang kesuntukan masa untuk bersarapan.
WiraBar dihasilkan bagi memberikan khasiat dan boleh menjana tenaga dengan diasaskan kepada buah-buahan dan kekacang sebenar.
Ia juga sesuai untuk di makan oleh atlit sebelum dan ketika pertandingan atau waktu latihan berlari, mengayuh basikal atau berenang.

 

 SATELIT MINI BINAAN ANGKASA UKM

Malaysia akan melancarkan sebuah satelit kecil angkasa lepas atau "Nanosatellite" yang direka dan dibina oleh saintis Institut Sains Angkasa (ANGKASA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk memantau ionosfera.

"Nanosatellite" (nanosat) adalah sebuah satelit dengan jisim antara satu dan 10 kg sahaja. Apa yang dilakukan ia akan bergabung dengan beberapa nanosat lain dalam satu pembentukan gabungan dengan sebuah satelit induk yang lebih besar untuk dapat berkomunikasi dengan stesen bumi. 

 

 

Pengarah ANGKASA Profesor Dr Mohd Alauddin Mohd Ali berkata pelancaran nanosatellite itu adalah suatu cara yang ekonomik untuk mendapatkan data mengenai bumi kerana kosnya lebih rendah berbanding kos yang mencecah puluhan juta ringgit untuk melancarkan sebuah satelit bersaiz besar. Kos menghantar seorang angkasawan pun adalah jauh lebih mahal hingga kira-kira RM27 juta.

Nanosat memerlukan enjin, sistem kawalan, komunikasi dan sistem pengiraan yang paling canggih.

UKM telah mendapat geran kerajaan sejumlah RM150,000 untuk membuat dan melancarkannya. Nanosatelit UKM itu adalah sebahagian daripada suatu projek konsortium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dipimpin pasukan penyelidikan Sepanyol. Beberapa negara lain digalak menyertai konsortium itu untuk berkongsi data melalui rangkaian satelit yang akan diusahakan.

Kaedah perkongsian demikian membolehkan negara membangun mampu melancarkan satelit pada kos yang munasabah dan boleh pula berkongsi maklumat dengan negara lain yang mengambil bahagian.

Nanosat UKM ini direka untuk memantau perubahan dalam ionosfera hasil dari penomena nyalaan solar matahari. Prof Alauddin berkata banyak negara bimbang kerana matahari kini mengalami pencetusan nyalaan solar yang lebih kerap yang dikhuatiri boleh merosakkan peralatan komunikasi dan komputer di Bumi.

Satelit yang lebih besar biasanya menggunakan roket satu jenis bahan api atau dwi bahan api untuk pendorongan dan kawalan. Sistem itu adalah rumit dan memerlukan saiz permukaan lebih besar daripada yang terdapat pada satelit nanosat. Nanosat juga hanya memerlukan pendorongan elektrik, gas mampat, cecair berwap seperti butana atau karbon dioksida atau lain-lain sistem pendorongan yang mudah dan ekonomik.